I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, 3 December 2014

Sarawak Ranger




SARAWAK RANGERS YANG DIGERUNI Sarawak Rangers merupakan satu pasukan separa tentera yang telah dibentuk oleh Rajah Charles Brooke iaitu Rajah kedua Negara Sarawak pada Oktober 1862. Pada awal penubuhannya pasukan separa tentera ini telah dianggotai oleh anak tempatan Sarawak berbangsa Iban seramai 32 orang. Mereka telah dipilih hasil daripada pemuafakatan Rajah Charles Brooke dengan tuai-tuai rumah etnik Iban yang menyokong kepimpinan keluarga Dinasti Brooke di Negara Sarawak pada ketika itu. Pemilihan 32 orang ini bukanlah hanya sekadar tangkap muat tetapi etnik Iban 32 orang ini merupakan antara pahlawan etnik Iban yang gagah perkasa serta terkenal dengan selok belok berperang yang mewakili kawasan masing-masing. Jadi apabila ada diantara pahlawan Iban yang sememangnya pandai di dalam taktik berperang ini mendapat kepakaran dan sentuhan daripada mereka yang berpengalaman di arena perang moden yang dibawakan khas daripada Negara Eropah maka mereka telah menghasilkan satu pasukan yang mantap. Pada ketika inilah, Rajah Charles Brooke telah menggunakan Sarawak Rangers di dalam perang-perang untuk meluaskan empayar jajahan Negara Sarawak pada ketika itu bagi melawan mana-mana mereka yang menentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu ketika dahulu. Sekitar tahun 1930an iaitu ketika dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk pada waktu itu, Sarawak Rangers juga mendapat tempias yang sama apabila pada 29 Februari 1932, Sarawak Ranger telah dibubarkan secara rasmi dan akibat pembubaran itu ada di kalangan Sarawak Rangers telah kembali ke kampung halaman masing-masing dan ada juga telah dengan rela hati diserapkan menjadi pasukan Polis Negara Sarawak. Pada ketika itu, Negara Sarawak telah stabil dan banyak keringat mereka dituntut untuk menjaga keamanan di bumi Sarawak pada masa itu.

 Ketika Negara Sarawak di dalam persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua, sekali lagi Sarawak Rangers telah dipanggil untuk berbakti dengan Negara Sarawak. Pada ketika itu Rajah Charles Vyner Brooke telah membentuk Sarawak Rangers kembali bagi tujuan pertahanan dan mereka telah terlibat secara langsung di dalam mempertahankan Lutong, Miri dan Kuching sewaktu pencerobohan tentera Jepun pada Disember 1941. Ini terbukti apabila Sarawak Rangers adalah pertahanan terakhir sewaktu pertempuran terakhir di Kuching yang mana memaksa Sarawak Rangers untuk berundur ke kampong halaman masing-masing kerana kekuatan tentera Jepun sewaktu itu sememangnya begitu kuat sekali. Seperti kata pepatah lama biar putih tulang jangan putih mata, biarpun mereka telah berundur dan memberikan kemenangan kepada tentera Jepun namun begitu semangat anggota Sarawak Rangers mempertahankan bumi Sarawak tetap sentiasa ada di sanubari mereka dan akhirnya mereka bergabung dengan Major Tom Harisson iaitu seorang anggota tentera Tentera Komanwel daripada Australia yang melancarkan serangan gerila yang dikenali sebagai Pasukan “Z”. Kerana kepandaian dan kepakaran daripada Sarawak Rangers ini ramai tentera Jepun yang telah dibunuh oleh mereka. Setelah Jepun menyerah kalah akibat daripada pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, pasukan Sarawak Rangers telah sekali lagi pulang ke kampung halaman mereka dan kembali ke kehidupan normal mereka sebagai anak Sarawak. 

 Di ketika Malaya menghadapi serangan pengganas komunis iaitu pada tahun 1948 yang lebih dikenali sebagai zaman darurat komunis, sekali lagi pahlawan-pahlawan iban ini dituntut kepakaran mereka untuk membantu Malaya pada ketika itu oleh Kerajaan British Borneo Sarawak. Pada masa ini 49 penjejak Iban telah dihantar ke Malaya untuk membantu anggota pasukan tentera komanwel menangani pengganas komunis pada waktu itu. Kepakaran mereka menjejaki musuh di dalam hutan sememangnya tiada tolok bandingannya. Sepatutnya mengikut perjanjian 49 penjejak Iban ini hanya bertugas di Malaya selama 3 bulan dan selepas 3 bulan ada diantara mereka telah dengan rela hati untuk meneruskan perkhidmatan mereka di bumi Malaya pada waktu itu. Daripada 49 orang hanya 24 orang yang memilih untuk meneruskan perkhidmatan mereka dan 24 orang inilah yang diserapkan di dalam Pasukan Ferret No. 4 yang juga dianggotai oleh pasukan tentera Gurkha dan tentera Force 136. Selepas itu penjejak Iban ini telah datang silih berganti ke bumi Malaya dan dicatatkan sehingga tahun 1952 telah lebih 1,168 penjejak Iban yang berkhidmat sebagai Penjejak Iban Sarawak di bumi Malaya. 

 Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah ini iaitu penjejak Iban Sarawak yang kali pertama gugur di dalam perkhidmatan mereka di Malaya hanya berlaku pada 12 Mac 1951 iaitu Mendiang Jaweng anak Jugah yang berasal dari Kapit, Sarawak. Mendiang terkorban kerana ditembak secara tidak sengaja ketika melakukan serang hendap ke atas pengganas komunis. Pada ketika itu mendiang tersilap dikatakan sebagai salah seorang pengganas komunis. Bayangkan setelah beberapa tahun berkhidmat di bumi Malaya hanya pada tahun 1951 baru ada penjejak Iban yang terkorban di dalam perang. Inilah salah satu keisitimewaan penjejak Iban Sarawak Rangers yang sememangnya begitu pakar di taktik perang serang hendap. Selain itu tercatat satu lagi sejarah di dalam memartabatkan penglibatan penjejak Iban Sarawak Rangers di dalam perang di Malaya apabila Awang anak Rawing, anak iban dari Skrang telah dianugerahkan dengan Pingat George Cross manakala Menggong anak Panggit menerima Pingat George daripada Kerajaan Mahkota Great Britain atas keberaniannya menyelamatkan pasukan masing-masing sewaktu keganasan komunis berleluasa di bumi Malaya ketika itu. 

Biarpun penjejak Iban Sarawak ini merupakan mereka yang bertugas dengan tentera namun begitu mereka masih lagi tidak mendapat pengiktirafan sebagai anggota tentera sepenuhnya jadi bagi menjaga kebajikan mereka pada dari segi hak dan status setelah permuafakatan antara Kerajaan British Borneo Sarawak, pemimpin masyarakat Iban dan Kerajaan Koloni British maka pada tangga1 1 Januari 1953, Sarawak Rangers Unit Tanah Melayu telah ditubuhkan secara rasmi dengan pegawai pemerintahnya yang pertama adalah Leftenan Kolonel C.J Baird. Bermula dari tarikh hari itu, barulah Sarawak Rangers dengan rasminya menjadi anggota tentera sepenuhnya. Pada 1 April 1960, Sarawak Rangers Unit Sarawak, Borneo telah ditubuhkan secara rasminya di bumi Sarawak oleh Kerajaan British Borneo Sarawak dengan pegawai pemerintahnya merupakan anak tempatan yang juga salah seorang penjejak Iban Sarawak Rangers iaitu Leftenan Tomlow anak Isa. Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada perjuangan anak Iban di dalam Sarawak Rangers memandangkan ketika itu Sarawak masih lagi menjadi tanah jajahan Kerajaan British Borneo. 

Sarawak Rangers keberanian dan kepakaran mereka dituntut di dalam banyak perang-perang di bumi asing contohnya di Malaya dan Brunei malah Sarawak sendiri walaupun ketika itu Sarawak belum lagi membentuk Gagasan Malaysia. Ada antara penjejak Iban Sarawak Rangers ini telah gugur di medan perang di bumi asing dan telah disemadikan di bumi asing suatu ketika dahulu dan hanya pada tahun 2011, 21 jenazah penjejak Iban telah dibawa pulang kembali ke tanahair tercinta mereka iaitu Sarawak Bumi Kenyalang. Antara penglibatan perang mereka adalah seperti berikut:

 1. Kempen mengamankan Sarawak era Rajah Brooke.(1862 – 1942) 
2. Perang Gerila Jepun bersama ‘Reconnaissance Service Department’ (RSD) di Sarawak. (1942–1945) 
3. Darurat Malaya. (1948 – 1960)
4. Darurat Sarawak (1952 – 1953) 
5. Pemberontakan Brunei (1962) 
6. Konfrantasi Indonesia Malaysia (1962 – 1963) 

Di dalam perjanjian Penubuhan Malaysia, pihak Kerajaan British telah bersetuju untuk menubuhkan 2 buah batalian Askar Renjer Malaysia dan seterusnya melatih anggota-anggota tentera di peringkat awal dan seterusnya diikuti dengan penubuhan battalion ketiga. Penubuhan Askar Renjer Malaysia telah diumumkan di Parlimen British (House of Commons) oleh Secretary of State for Commonwealth Affairs pada 18hb Julai 1963. Hanya beberapa hari sebelum Sarawak dimerdekakan secara rasminya iaitu pada 22hb Julai 1963. Ekoran daripada itu, Sarawak Rangers telah dibubarkan secara rasminya dan kemudian pada 16 September 1963, anggota Sarawak Rangers telah diserapkan menjadi Batalion Pertama Regimen Renjer Malaysia. Batalion Kedua Regimen Renjer Malaysia terdiri daripada anak tempatan North Borneo (Sabah) dan Batalion Ketiga Regimen Renjer Malaysia merupakan anak tempatan Tanah Melayu. 

 Tahukah Anda?
- Pasukan Elit Pertama Asia Tenggara 1951 (Sarawak Rangers) juga dikenali dengan nama The Headhunter Team pernah mendapat mendapat pengiktirafan Pasukan Terbaik Dunia pada ketika itu oleh Sir Gerald Templer. Setelah menewaskan pasukan komunis ketika zaman darurat di sekitar Temasik (Singapura), Malaya (Sem. Malaysia) dan Siam (Thailand).

- Sebilangannya pernah dihantar ke Vietnam bagi membantu tentera Amerika menentang Viet Kong pada ketika itu.

- Sarawak Rangers,pasukan yang mempunyai taktik serangan gerila paling digeruni pada ketika itu hinggakan pasukan elit British SAS (Special Air Service) tidak mampu menandingi pasukan ini bahkan sebilangan jurulatih SAS ini juga mendapat latihan tidak formal dari Sarawak Rangers. 

- Pasukan Sarawak Rangers ini juga mampu menewaskan PARAKU/tentera Indonesia yang kebanyakan anggotanya dikatakan berkebolehan luarbiasa seperti kebal dan halimunan (menghilangkan diri) ketika era kofantrasi. 

- Pernah diakui oleh mantan presiden Indonesia pada ketika itu dalam ucapannya yang merujuk kepada Sarawak Rangers, "Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa. Banyak yang bercerai badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia". 

- Warisan pasukan ini juga bertanggungjawab dalam menjaga keamanan ketika rusuhan kaum pada 13 Mei kerana kebanyakan mereka berpendirian neutral tidak menyebelahi mana-mana kaum.

- Pasukan ini juga merupakan satu-satunya pasukan keamanan di dunia yang mempunyai kepakaran dalam pertempuran jarak dekat. Diakui oleh KOPASUS (Tentera Elit Indonesia)

- Cogan kata "Agi Hidup Agi Ngelaban" yang berasal daripada Bahasa Iban bermaksud "Selagi masih bernafas, Selagi itulah terus Berjuang", merupakan cogankata yang sama pernah digunakan Sarawak Rangers dan diangkat menjadi cogan kata Rejimen Renjer DiRaja (singkatan RRD), salah satu pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia.

Sumber : Planet Sarawak

No comments: